PERKAHWINAN MASYARAKAT INDIA
Masyarakat India merupakan etnik ketiga terbesar di Malaysia
dan juga salah satu kaum yang telah menyumbang ke arah pembentukan sebuah
masyarakat majmuk di negara kita. Seperti masyarakat lain, masyarakat
India juga kaya dengan ciri-ciri kebudayaan mereka dan masih mengekalkan
kebudayaan tersebut sehingga kini. Adat resam yang diamalkan oleh masyarakat
India mempunyai banyak persamaan dengan kebudayaan masyarakat Melayu. Ini jelas
terlihat dalam aspek kelahiran dan perkahwinan. Seperti juga masyarakat lain,
masyarakat India terdiri daripada pelbagai suku kaum, justeru itu maklumat
berikut hanya memaparkan adat resam masyarakat India secara umum.
Merisik
Beberapa aspek perlu diberi perhatian seperti faktor etnik, sub
etnik, kasta dan agama. Selain itu, faktor-faktor lain seperti status ekonomi
dan status sosial merangkumi aspek seperti umur, tahap pendidikan, jenis
pekerjaan, etika dan moral, rupa paras dan latar belakang keluarga juga turut
diambil kira.
Kunjungan Ke Rumah Pengantin
Adat ini dilakukan selepas adat merisik dilakukan. Bakal pengantin
lelaki akan mengunjungi bakal pengantin perempuan untuk melihat sendiri paras
rupa dan perawakan calon isterinya. Adat ini dikenali sebagai pen paarttal atau
dalam bahasa Melayu dipanggil sebagai melihat bakal isteri. Ketika itu wakil
pihak lelaki perlu datang dalam jumlah ganjil walaupun bilangan tersebut ramai.
Buah tangan seperti kelapa, sirih, pinang, cendana, buah-buahan,
bunyi-bunyian serta serbuk kumkum akan dibawa. Barang-barang ini dibawa sebagai
tanda kedatangan mereka atas niat yang baik dan untuk mengeratkan lagi hubungan
kekeluargaan. Pihak perempuan akan menerima hantaran tersebut sekiranya
bersetuju. Jika tidak, mereka hanya melayan orang yang datang sebagai tetamu
dan tidak boleh mengambil barang-barang tersebut.
Bakal pengantin perempuan akan memakai sari dan
dipertanggungjawabkan menghidang air minuman. Pada masa itu bakal pengantin
lelaki berpeluang melihat pengantin perempuan dengan lebih dekat lagi. Oleh itu
bakal pengantin perempuan perlu melayani para tetamu yang bertandang
termasuklah bakal suami. Kemudian kunjungan ini dibalas oleh wakil perempuan.
Kali ini pengantin perempuan tidak turut serta. Dalam masyarakat India, adat
pen paarttal juga bertujuan untuk mengetahui latar belakang bakal pengantin
lelaki.
Ikat Janji Atau Niccayam
Dilakukan selepas mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak.
Wakil lelaki akan datang ke rumah pihak perempuan dalam jumlah bilangan yang
ganjil dengan membawa beberapa barangan seperti kelapa, sirih pinang,
bunga-bungaan, buah-buahan, cendana dan kumkum untuk diberikan kepada wakil
perempuan.Bakal pengantin lelaki seterusnya akan melafazkan ikat janji bagi
menyatakan persetujuan untuk mengahwini bakal pengantin perempuan. Seterusnya
perkahwinan tersebut akan diumumkan kepada orang ramai. Sebagai tanda ikatan,
kedua-dua pengantin akan menukar sirih pinang yang dinamakan taambuulan
marrutal.
Parisam
Adat parisam terbahagi kepada dua iaitu parisam biasa atau
udan parisam.Parisam biasa adalah pemberian hadiah yang dijalankan lebih awal
daripada hari perkahwinan, manakal Udan Parisa adalah pemberian hadiah
yang dilakukan pada hari yang sama di sebelah pagi sebelum perkahwinan
dilangsungkan. Dalam masyarakat India, parisam umpama sebuah majlis
pertunangan. Adat pemberian parisam akan diadakan pada hari yang telah
dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Pihak pengantin lelaki akan
menyediakan beberapa jenis hantaran dalam jumlah ganjil. Hantaran ini perlu
disediakan oleh wanita yang sudah bersuami sahaja dan mereka dipanggil
cumanggali. Parisam akan dibawa ke rumah pengantin perempuan diketuai oleh
bakal pengantin lelaki dengan memakai pakaian tradisional masyarakat
India.
Pada masa yang sama alat muzik tradisional
seperti naatasawaram dan meelam dimainkan. Pihak perempuan akan menyediakan
buyung yang dikenali sebagai puurana kumbum yang diletakkan di ruang tamu.
Lampu minyak yang dipanggil sebagai kuttu vilakku diletakkan bersebelahan
puurana kumbum sebagai menunjukkan kurniaan tuhan.Bagi memulakan adat tersebut,
upacara sembahyang akan dilakukan terlebih dahulu. Kemudian bapa
pengantin perempuan akan membawa parisam yang mengandungi sari dan diberi
kepada anaknya. Pada masa yang sama pengantin perempuan menulis sesuatu dengan
menggunakan kunyit sebagai meminta restu daripada tuhan. Setelah itu barulah
pihak lelaki dan jemputan lain boleh melihat puurana kumbu dengan lebih dekat
lagi. Pada hari tersebut, bakal pengantin perempuan memakai sari parisam dan
dipimpin keluar oleh seorang wanita lain ke ruang tamu. Pada masa ini beberapa
orang saudara-mara boleh mengalungkan kalungan bunga pada bakal pengantin
perempuan. Ini dikenali sebagai orrai-maalai atau kalungan tunggal. Pengiring
akan memberi kad jemputan kepada kedua-dua pihak pengantin. Tiga upacara
penting iaitu mengunjungi rumah pengantin (pen paartal ), adat ikat janji
(niccayam) dan pemberian hadiah.
Kad Jemputan
Kad jemputan memainkan peranan yang penting
dalam perkahwinan masyarakat India. Kad jemputan ini dibuat berdasarkan almanak
Hindu. Sekiranya terdapat kesilapan, bermakna perkahwinan tidak dapat
dijalankan dengan lancar. Kad jemputan yang telah dicetak disapu dengan serbuk
kunyit cair sebagai lambang keharmonian. Beberapa keping kad jemputan dalam
bilangan ganjil akan dibawa bersama ke kuil untuk dibawa bersembahyang
(arccanai). Kad diletakkan di atas dulang bersama sirih, wang ringgit, kelapa,
pinang dan sebagainya sebagai lambang kekayaan. Upacara ini dinamakan sebagai
paanam paaku. Kemudian dulang akan dibawa ke rumah pengantin perempuan untuk
diberi kepada pengantin lelaki dan begitulah sebaliknya. Pada masa yang sama
sirih pinang akan diberikan sebagai tanda jemputan perkahwinan secara rasmi.
Penyediaan Thaali (Tirumaanggalyam)
Merupakan lambang suci perkahwinan yang dikalungkan pada leher
kedua-dua pengantin. Pada thaali itu diikat segumpal benang putih yang disapu
dengan kunyit. Terdapat pelbagai jenis thaali yang digunakan oleh masyarakat
India seperti lingath thaali, pottut thaali, tennantthaali dan sebagainya. Ini
disebabkan terdapat pelbagai suku di kalangan masyarakat India. Adat penyediaan
thaali ini dilakukan tujuh atau sembilan hari sebelum hari perkahwinan. Pihak
lelaki akan membawa emas, cendana, kumkum, sirih pinang, kelapa dan bayaran
untuk pembuat thaali. Ini adalah untuk memastikan tukang thaali mengetahui hari
yang sesuai untuk membuat thaali.
Tiga hari sebelum perkahwinan, thaali akan diambil dan
diletakkan di tempat sembahyang atas suruhan pembuat thaali. Pihak pengantin
adalah dilarang untuk menawar perkhidmatan yang dilakukan oleh pembuat thaali.
Selepas itu upacara sembahyang dilakukan dan ini dinamakan sebagai
thaalippadaiyal.Dalam upacara itu bubur manis dan nasi manis disediakan
termasuklah dhoti dan sari untuk pasangan pengantin. Secara umumnya thaali
tidak diwajibkan diperbuat daripada emas. Ini kerana thaali masih boleh dibuat
daripada kunyit yang dikatakan lebih selamat dan tidak dicuri orang.
Mukuurtta Kaal
Dilakukan lima hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Adat
mukuurtta kaal ini diadakan pada hari yang baik mengikut firasat masyarakat India.
Untuk menjalankan adat tersebut sebatang pokok yang masih muda dan lurus akan
ditebang untuk dijadikan mukurtta kaal. Batang pokok tersebut berukuran dua
atau tiga meter dan mempunyai lilitan batang antara 20 hingga 30 sentimeter.
Majlis perkahwinan pula dimulakan dengan upacara niccayam (ikat janji) dengan
memberi hadiah seperti pakaian dan lain-lain. Kad undangan disapu dengan air
kunyit dibawa ke kuil dalam jumlah ganjil sebagai tanda rasmi undangan
perkahwinan.
Upacara Kanggenam Dan Perkahwinan
Menanam sebatang pokok yang lurus dan disapu dengan serbuk
kunyit tiga hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Pengantin lelaki tidak
dibenarkan keluar selama tiga hari sebelum hari perkahwinan. Upacara
perkahwinan dilakukan oleh Pedanda dengan berdoa supaya pengantin hidup bahagia
hingga hari tua. Pedanda akan menabur sembilan jenis bijirin setelah selesai
acara menyarung cincin. Pengantin lelaki akan mengalungkan thaali yang
diperbuat daripada benang yang disapu dengan kunyit dan hujungnya diikat dengan
seketul kunyit kepada pengantin perempuan hingga aras dada. Kedua mempelai
memberi hormat kepada ibu bapa atau mertua dengan menukar dulang berisi
buah-buahan dan menyapu debu suci pada dahi pengantin.
Selepas Majlis Perkahwinan
Terdapat beberapa adat yang dijalankan oleh masyarakat
India selepas berlangsungnya sesuatu perkahwinan. Antara adat tersebut ialah
pengantin perempuan dikehendaki pergi ke rumah pengantin lelaki sebagai
menghormati suami selepas mereka disahkan sebagai pasangan suami isteri.
Kemudian pengantin lelaki pula dikehendaki pergi ke rumah pengantin perempuan
selama tiga hari. Pada masa itu ibu bapa mertua akan menghormati kedua-dua
pengantin dengan mengadakan jamuan.
Pada hari ketiga selepas perkahwinan, Khemah lazimnya akan
dirobohkan. Sebelum khemah dirobohkan, ayam akan disembelih sebagai tanda
menunjukkan tamatnya upacara perkahwinan. Namun amalan tersebut tidak lagi
dilakukan pada masa kini. Hanya jamuan ringan sahaja yang diberikan kepada
mereka yang merobohkan khemah perkahwinan.Jamuan perkahwinan tidak ketinggalan
diadakan selepas upacara perkahwinan dijalankan. Sekiranya perkahwinan
dilakukan di kuil, sayur-sayuran akan dihidangkan kepada para tetamu. Sekiranya
jamuan diadakan di dewan, makanan selain dari sayur-sayuran dihidangkan,
kecuali daging kerana daging amat dilarang dalam agama Hindu.
Jamuan tersebut akan turut disertai oleh saudara mara serta
sahabat handai. Terdapat beberapa adat yang dijalankan oleh masyarakat India
selepas berlangsungnya sesuatu perkahwinan. Antara adat tersebut ialah
pengantin perempuan dikehendaki pergi ke rumah pengantin lelaki sebagai
menghormati suami selepas mereka disahkan sebagai pasangan suami isteri.
Kemudian pengantin lelaki pula dikehendaki pergi ke rumah pengantin perempuan
selama tiga hari.
Pada masa itu ibu bapa mertua akan menghormati kedua-dua pengantin
dengan mengadakan jamuan. Pada hari ketiga selepas perkahwinan, Khemah lazimnya
akan dirobohkan. Sebelum khemah dirobohkan, ayam akan disembelih sebagai tanda
menunjukkan tamatnya upacara perkahwinan. Namun amalan tersebut tidak lagi
dilakukan pada masa kini. Hanya jamuan ringan sahaja yang diberikan kepada
mereka yang merobohkan khemah perkahwinan. Jamuan perkahwinan tidak ketinggalan
diadakan selepas upacara perkahwinan dijalankan. Sekiranya perkahwinan
dilakukan di kuil, sayur-sayuran akan dihidangkan kepada para tetamu. Sekiranya
jamuan diadakan di dewan, makanan selain dari sayur-sayuran dihidangkan,
kecuali daging kerana daging amat dilarang dalam agama Hindu. Jamuan tersebut
akan turut disertai oleh saudara mara serta sahabat handai.